Wednesday 4 April 2012

kau harus ada

assalamualaikum...
ana ada bwak cerpen baru,...
harap terhibur,,..
karya hilal asyraf...

“Awak, bangun awak.”
Suara itu menembusi kegelapan. Menarik aku dari kelamnya lena. Perlahan-lahan kubuka mata. Cahaya masuk, dan siling menjadi persembahan pertama.
“Urgh,” Aku mengesat mata, yang kurasa masih tidak hilang kantuknya. Terpisat-pisat. Berkelip beberapa kali.
“Mengantuk lagi?” Suara lembut itu menyapa lagi.
Aku menggeleng. Kemudian perlahan-lahan menumpukan pandanganku kepada yang bersuara.
Dia sedang memandangku dengan perihatin. Dan tiadalah wajahnya itu, melainkan menjemput senyuman hadir pada bibirku.
“Alhamdulillah,” Aku mengucap perlahan. Benar-benar rasa bersyukur dihidupkan. Dan amat bersyukur kerana Allah mewujudkan dia di sisi.
Dia turut tersenyum mekar.
“Ada setengah jam lagi sebelum Subuh. Sempatlah kalau nak qiamullail.” Telapak tangannya menyentuh pipiku. Aku mengangguk faham. Kemudian dia perlahan-lahan turun dari katil.
Aku menolak katil untuk menukar posisi, dari berbaring kepada duduk bersila. Sekadar memandang dia yang berjalan menjauhi katil, kemudian menghilang di balik bilik air.
Senyumanku belum pudar.
Puas hati bangunku hari ini. Seperti juga hari-hari sebelumnya semenjak wujudnya dia. Hatiku lapang. Jiwaku kembang. Bahagia. Dan bahagia ini, sukar sungguh untuk terluput, semenjak hadirnya dia.
Sebentar aku jadi teringat hari-hari lalu. Hari-hari yang sunyi itu. Hari-hari yang perit itu. Hari-hari yang penuh derita dan disulami pelbagai cabaran yang menduga. Bukanlah kini semua itu telah pergi. Tetapi seakan-akan semuanya menjadi ringan dan aku menjadi lebih kuat untuk menempuhnya.
Aku menunduk dengan senyumanku, menggeleng sendiri.
Benar sangkaanku, dia harus ada.
“Alhamdulillah ya Rabb, Alhamdulillah.” Dan syukurku bukan sekadar kata. Segera aku bangun, menuju ke bilik air di luar kamar. Membersihkan diri, siap mengambil peluang qiam yang masih berbaki. Biar syukurku wujud dalam amalan juga.
******
Suasana halaman yang indah mengisi keadaan. Angin pagi sepoi-sepoi bahasa dengan hawa yang sederhana membuatkan diri terasa damai. Antara kegemaran kami berdua, sarapan di halaman rumah kala hening pagi sebelum aku pergi mencari rezeki.
“Apa senyum-senyum?” Tiba-tiba suaranya mengoyak lamunanku.
Aku mengangkat kening. Tanda tanya. Tak faham mengapa aku ditanya.
“Ya la, ada apa-apa ke? Atau muka saya ada masalah?” Dia mengesat pipi dengan belakang tangan yang sedang memegang garfu.
Aku tertawa. “Mana ada apa-apa pada muka awak. Saya sahaja nak senyum. Tak boleh?”
Dia tersenyum sama. “Senyum tak mengapa. Tapi senyum sambil tenung saya lama-lama tu yang buat saya tertanya-tanya. Tak sedap ke Mee Goreng saya masak?”
The Best in The World. Sama level dengan Ummi dan Ibu masak.”
“Habis tu, senyum-senyum kenapa?”
Aku dengan senyuman yang tidak lekang, menggeleng senang.
“Senyum, sebab awak ada di hadapan saya, sarapan dengan saya.”
Spontan wajahnya merah. “Hish, ingatkan apa tadi.” Terus dia kembali menumpukan perhatian kepada Mee Goreng di atas pinggan.
Aku juga menyambung makan. Sengaja mengekspresikan rasa hati. Kerna aku memang benar-benar rasa beruntung dengan keberadaannya di sisi. Aku tidak dapat membayangkan betapa aku sedang melalui hari-hari ini. Hari yang aku fikir tidak akan tiba buat diri.
“Awak, sibuk tak hujung minggu ni?” Soalan itu muncul saat aku selesai dengan suapan terakhir.
“Kenapa?” Garfu dan sudu kuletakkan saling menyebelah di tengah pinggan yang licin.
“Sibuk tak?” Dia mengerutkan dahinya sedikit. Seakan hendak kujawab juga jawapannya.
“Kalau sibuk kenapa?”
“Kalau sibuk, saya tak nak lah cakap.” Dia menundukkan wajahnya, sambil garfu menolak masuk baki mee goreng ke dalam sudu, kemudian terus membawanya ke dalam mulut.
“Kalau macam itu, tak sibuklah.” Aku mengesat kawasan sekitar mulut dengan tisu, sambil kekal tersenyum. Wajahnya tidak kulepaskan. Walaupun mungkin matahari naik yang boleh kuperhatikan ketika ini indah. Kerna padaku, tiada makhluk ciptaan Allah yang lebih indah dari apa yang ada di hadapanku kini.
Dia mencemikkan muka, sambil meletakkan sudu dan garfu di atas pinggan . “Saya tak nak sampai ganggu schedule awaklah. Saya tahulah awak sibuk.”
Aku menggeleng. “I’ll manage. Apa yang awak nak cakap sebenarnya?”
“Er…” Teragak-agak. “Keluar jalan-jalan jom?” Wajahnya seakan amat berhati-hati bila melafazkan soalan.
Tawaku muncul lagi. Geli hati melihat wajahnya. Dan tersentuh dengan ajakannya. Aku faham maksud ajakan itu.
“Ada kerja sebenarnya…”
Wajah cerianya hilang sebentar. Aku sudah agak.
“…Tetapi i’ll try to finish it before this weekend. So that we can go jalan-jalan. Dan…” Aku tepat memandangnya. Masih tidak melepaskannya. Dapat melihat yang dia sudah mula hendak tersenyum, tetapi berusaha menahannya.
“Dan…?” Senyumannya seakan terpecah sedikit, tetapi masih mencuba.
“Dan katalah kerja tak habis juga, still, kita akan keluar pergi jalan-jalan juga. Saya tahu, awak nak suruh saya sekali-sekala ambil angin kan?”
“Ha, tahu pun. Asyik kuat kerja sahaja. Kesian saya tengok.” Senyuman kembali menawan wajahnya.
Aku menggeleng senang melihat ulahnya. Aku tahu dia mengajakku berjalan itu bukan kerana dia yang inginkan. Tetapi kerana aku sibuk dengan timbunan kerja dan projek, hingga hampir tidak punya masa merehatkan tubuh dan minda ke mana-mana.
Aku bangun. Perlu segera untuk ke tempat kerja.
I’ll pick the place, boleh?” Pertanyaannya menyelit sebelum aku berdiri sempurna.
“Baik sayang. Saya setuju. You pick the place, okay?”
Dia mengangguk perlahan.
Segera kujinjit briefcase di tepi kerusi kayu tempat dudukku, kemudian perlahan-lahan bergerak ke arah kereta yang enjinnya telah siap kuhidupkan sebelum sarapan tadi. Aku memang telah siap dengan pakaian kerja setiap kali bersarapan pada hari-hari biasa. Memudahkan pergerakan dan menjimatkan masa.
“Awak,” Suaranya kedengaran, membuatkan aku menoleh.
Segera dicapainya tanganku, dan menundukkan kepala menciumnya.
Kembang jiwa. Perasaan ini, setiap kali hendak bekerja, seakan-akan pembekal kekuatan yang berganda-ganda. Subhanallah. Sungguh, aku amat-amat menghargai perasaan ini. Kalaulah perasaan ini satu makhluk yang boleh kupegang, pasti kusimpan di dalam balang. Kalaulah perasaan ini sesuatu yang boleh dipandang, sudah pasti kurakam biar boleh selalu diulang tayang.
Take care. Jumpa nanti petang.” Aku menyentuh pipinya lembut dengan telapak tanganku.
“InsyaAllah, awak take care juga.” Matanya mendamai jiwa.
“InsyaAllah.” Sambil masuk ke kereta.
Dengan lafaz bismillah, aku memutarkan stereng dan menekan pedal minyak, menggerakkan keretaku separuh bulatan mengikut ruang yang ada di hadapan rumahku, sebelum bergerak lurus keluar dari halaman rumah.
Sempat aku melihat cermin pandang belakang.
Dia melambai.
Aku tersenyum senang.
******
Bunyi alat penghawa dingin ruang tamu menyulam suaraku membaca Al-Quran. Sambil bersandar pada sofa, tidak jauh dari tempat solatku tadi, aku memegang Al-Quran sederhana besar dengan tangan kanan.
Senggang masa antara Maghrib dan Isya’, kuisi dengan rutinan harian. 10 muka surat paling kurang, sehari. Itu aku disiplinkan buat diri ini. Antara makanan jiwa yang baik adalah Kalamullah sendiri. Membaca Al-Quran, sambil mentadabburnya, akan membuatkan jiwa dekat dengan Allah SWT dan menyedari kebesaranNya, keberadaanNya, kasih sayangNya, dan kecintaanNya.
Tambahan, aku perlu menjaga seseorang sekarang. Bukan semata-mata diriku lagi. Maka Al-Quran adalah antara sumber tenaga wajib yang mesti aku ambil untuk mengisi kekuatanku setiap hari.
Perlahan-lahan, sambil mulut masih mengalunkan Surah At-Taubah kegemaranku, mataku melirik ke arah dia yang khusyuk membaca Al-Quran di tempat solatnya tadi.
Tiba-tiba dia bangun, bergerak mendekatiku, kemudian duduk di hadapanku.
“Awak, tasmi’ bacaan saya, boleh?” Sambil dia menghulurkan mushafnya kepadaku.
Aku melihat wajahnya, kemudian merayap kepada Al-Quran yang disuakan.
Hatiku kembang. Ini bukan pertama kali, tetapi setiap kali ini berulang, aku rasa lapang. Senang. Ketika itu juga senyumanku muncul.
“Awak ni, sikit-sikit senyum sahaja. Dari awal kahwin macam itu.” Dia mengerutkan dahi sedikit.
Senyumanku melebar. Sebelah tangan menutup mushaf yang ada padaku, sambil sebelah lagi menyambut Al-Quran di tangannya.
“Senang hati, kita senyumlah.” Aku menjawab dengan senyuman yang masih berbunga.
“Ya? Ke awak ada nampak apa-apa yang tak kena pada saya? Dari awal-awal lagi saya sebenarnya tertanya-tanya.” Dia berwajah penuh persoalan. Senyuman pada bibirnya beriak mencungkil jawapan.
Itu hanya membuatkan senyumanku memekar.
“Saya senyum, sebab saya nampak awak ada depan saya la.”
“Itu jawapan ke?”
“Ha, sekarang ni nak cungkil rahsia, atau nak saya tasmi’ hafazan awak?”
“Yalah, dia tak nak kongsi dengan kita. Simpanlah rahsia awak tu. Ha, tasmi’ ya? Hafazan plus tajwid sekali tau. Check betul-betul.” Dia mendekatkan diri
“Baik, sayang.”
Suaranya mengambil alih ruang, bersulaman dengan bunyi penghawa dingin. Surah An-Nisa’ kedengaran menggetarkan gegendang telinga.
Aku menikmatinya. Dan rasa nikmat mendengar suara orang yang tercinta mengalunkan ayat-ayat Allah SWT itu membuatkan aku menutup mataku. Tidak menjadi masalah untuk memeriksa apa yang dibaca, memandangkan aku juga menghafalnya.
Sekali-sekala dia tersilap ayat, aku menegurnya. Adakala tajwidnya kurang tepat, aku membetulkannya.
Suasana ini, menyenangkan. Suasana ini, membahagiakan. Suasana ini, amat mengasyikkan.
Hinggalah dia menamatkan bacaannya. Aku membuka mataku semula. Memandang dia di hadapanku. Kalau bukan kerana aku tahu aku masih di dunia, aku sudah berkata bahawa aku sedang berada di dalam syurga.
“MasyaAllah,” Aku memuji Allah SWT. Apakah yang lebih indah dari yang aku sedang lalui ini?
“Banyak salahlah.” Dia bernada seperti kurang berpuas hati, sebelah tangan menggaru kepalanya yang aku yakin tidaklah gatal, sambil sebelah lagi mengambil semula mushafnya.
Still good lah. Boleh baiki dari masa ke semasa, insyaAllah.”
“Takut awak bosan tasmi’ saya selalu. Banyak salah, mesti bosan.”
Aku menggeleng. “Mana ada. Mana boleh bosan? Hidup kat dunia sekejap sahaja, kalau saya bosan dengan awak, habislah.”
“Kenapa? Apa kaitan dengan duduk dekat dunia?” Wajahnya kehairanan.
“Yalah. Sebab saya nak awak duduk dengan saya di syurga. Syurga selama-lamanya. Kalau di dunia yang sementara lagi sekejap ini saya dah bosan dengan awak, macam mana saya nak hidup selama-lamanya dengan awak di syurga?”
Ketika itu juga tawa kecilnya pecah. Tawanya kedengaran tulus muncul dari hati yang teramat senang. Segera diangkat tangannya yang tidak memegang mushaf untuk menutup sebahagian mulutnya. Adab orang yang ketawa agar nampak sopan.
Dan aku amat senang melihat kesenangannya. Ya Allah, kekalkanlah yang ini.
“Untunglah saya dapat suami macam awak.” Tangannya yang menutup mulut itu bergerak menepuk bahuku.
Aku menundukkan kepala sambil terus tersenyum. Tak berkata apa-apa. Tetapi di dalam hati, aku berbicara sendiri: “Saya yang untung, dapat isteri macam awak.”
“Awak,”
Aku mengangkat kepala memandangnya semula. Senyuman kini menggantikan tawanya tadi.
“Terima kasih sebab sudi tasmi’ saya.” Lembut dia bersuara.
“Sama-sama kasih. Esok, awak tasmi’ saya pula ya?” Aku angkat kening sebelah, seakan menggesanya berjanji.
Dia tersenyum, mengangguk. “Promise.”
Senyumanku jadi tidak pudar. Puas hati. Dengan nikmat tidak terhingga yang Allah berikan ini.
Dia harus ada.
Semestinya.
******
Aku memandang skrin 43 inci desktopku yang melekat pada dinding. Pelbagai kertas kerja tersusun di atas meja. Jari jemari mengetuk irama yang tidak berseni. Sepenuh tumpuan kukerah. Minda  kuperah.
Come on, come on. Di dalam hati aku menggesa biar idea berbuah.
Aku adalah seorang CEO. CEO kepada syarikatku sendiri. Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd. Walaupun usiaku baru sahaja menjejak 23 tahun, Syarikat Awan Keimanan Sdn Bhd telah menjadi antara syarikat yang terkenal di Malaysia.
Menjejak umur 18 tahun, aku memulakan satu projek penulisan di alam maya. Lama-kelamaan, penulisanku diikuti ramai. Hingga akhirnya, ada syarikat penerbitan yang singgah dan menawarkan aku menjadi penulis. Dari situ, lebih ramai orang mula mengenaliku.
Aku tidak menerima semua itu begitu sahaja. Aku yang sememangnya bercita-cita besar semenjak kecil, melihat bahawa itu adalah peluang yang Allah SWT supaya aku bergerak lebih jauh lagi dalam menyebar luas agamaNya. Maka terus aku merangka sebuah rancangan.
Aku terus merangka satu projek jangka panjang. Cita-citaku adalah, aku mahu mempunyai sebuah syarikat yang besar, yang menguruskan hal-hal konsultansi, memprodus majalah islami, novel-novel islami, buku-buku motivasi islami, komik-komik islami, sekaligus merekrut penulis-penulis dan pelukis-pelukis yang mempunyai syakhsiah serta kefahaman islami. Tidak cukup dengan itu, kurangka juga agar syarikat itu mampu mempunyai kumpulan nasyid sendiri. Dan untuk satu jangka masa yang lebih panjang, aku yang ketika itu baru berusia pertengahan 18 tahun telah merangka agar semua penulis dan pelukis, termasuk penasyid di bawah syarikat itu, akan mampu menjadi ikon masyarakat, sekaligus menjadi fasilitator dalam program-program motivasi yang dijalankan syarikat.
Aku masih ingat, sekumpulan besar manusia mentertawakan aku tatkala aku meluahkan idea ini. Semuanya berkata bahawa ini adalah mimpi. Tambahan, ketika itu usiaku belum pun memasuki 20-an. Belum lagi menggerakkan semua itu, aku sudah mula mendapat tohmahan seperti berlagak, ego, dan sebagainya kerana dikatakan lemas dalam populariti sendiri.
Aku tidak berputus asa. Tetap berusaha menjadikan semuanya realiti yang berjalan di atas dunia. Akhirnya, pada awal umurku 19 tahun, aku berjaya mengumpulkan sekumpulan manusia untuk bergerak bersamaku. Mereka ini kugelar ‘sahabat’. Bersama mereka, aku bergerak dengan lebih efisyen, proaktif.
Mengharungi semua itu dalam keadaan aku merentas perjalanan sebagai seorang pelajar di universiti bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Tambahan aku belajar di luar negara. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk dengan pelbagai ‘kenakalan remaja’, aku korbankan semua itu untuk fokus pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku sibuk bercakaran isu persatuan pelajar di tempat belajarku, aku sibukkan diriku pada projekku ini. Saat rakan-rakan sebayaku rakus merantau negara-negara berdekatan tempat belajarku, aku menghabiskan cutiku menyusun atur semua projekku.
Ketika itulah dugaan demi dugaan tiba. Cabaran yang banyaknya tidak terbilang. Aku mula melihat wajah sebenar kehidupan yang hakikatnya tidak senang. Beberapa kali usahaku seakan berhadapan kegagalan. Belum dikira waktu-waktu aku dicemuh dengan pelbagai tohmahan. Ujian demi ujian. Masalah pula bukan di sekitar projekku semata-mata, bahkan di sekitar kehidupan pelajar luar negaraku jua. Ada masalah dengan ahli rumah, ada masalah untuk studi dengan baik, kadangkala ada masalah kesihatan, dan belum lagi dibilang pula masalah-masalah mengekalkan hubungan baik dengan Tuhan.
Aku menempuh semuanya sendirian.
Aku punya beberapa sahabat karib, tetapi mereka tidak mampu menjadi peringan kekal buat kehidupanku. Allah izin, mereka bukan rakan serumahku, dan bukan juga rakan seuniversitiku. Sahabat-sahabatku ini, hanya kadangkala sahaja mampu menziarahiku, meluang masa bersamaku. Saat bersama mereka, aku kuat. Semasa berjauhan daripada mereka, aku sedikit lemah.
Yalah, aku bukannya malaikat.
Dan pernah, saat ujian-ujian berat menimpa dan aku tidak tertahan dengannya, aku menangis sendirian. Derita itu tidak akan pernah kulupakan.
Tidak akan sesekali aku melupakan.
“Ya Allah, idea, idea.” Aku melekapkan dahi ke atas meja. Dahi menyentuh kertas kerja. Baru aku perasan aku telah jauh mengelamun. Teringat pula betapa terseksanya hidup pada saat itu semua.=)